Secara zahirnya, lelaki memang saya kira lebih kuat. Kuat fizikalnya kerana itu satu ketentuan. Namun, tidaklah harus kita lupakan yang seseorang itu perlu juga kuat di dalam hatinya. Saya kira, perempuan telah dilahirkan untuk mempunyai kekuatan tertentu dan fokusnya adalah dalam pada hatinya. Saya sebagai perempuan bukanlah mahu membela nasib kaum sendiri, tetapi umum dapat melihat sendiri ketabahan seseorang wanita itu. Kita tidak merungut, apatah lagi menhina diri sendiri apabila ditimpa musibah. Kita bangkit untuk mencari jalan keluar tanpa menunggu bulan jatuh ke riba. Ini lebih benar jika seseorang wanita itu adalah seorang ibu. Tidak salah kalau saya membuat kesimpulan bahawa ibu-ibu dapat berdiri gah dengan kekuatan sendiri kerana mereka tahu kekuatan mereka adalah nadi kepada keluarga. Mereka tahu ada sesuatu yang berharga yang harus dijaga dan dipupuk. Inilah yang dikatakan naluri wanita bergelar seorang ibu. Saya bukan seorang ibu, tetapi sudah pastinya saya dapat kebenaran ini pada mama saya. Saya rasa mama saya sudah melalui pelbagai suka duka dalam kehidupan ini. Walaupun dia senyap dan tidak meluahkan apa yang dirasakan, tetapi saya dapat agak apa yang sedang bermain di fikirannya. Jauh di sudut hatinya, saya pasti dia cuba untuk menjadi tabah untuk kami. Tidak perlulah saya mencungkil satu persatu, tetapi cukuplah untuk kalian tahu dia gembira dengan apa yang dia kecapi dan saya sangatlah bertuah mempunyai dia sebagai mama saya. Saya berharap saya dapat membuat dia gembira selalu. Sayaaanng mama saya!
Mama dan saya. Amirul & Hakim sekali lah!
Tapi itu hanya sedikit.
Tidak kira dimana saya pergi untuk menimba pengalaman, saya akan melihat perkara yang sama. Kaum hawa membanting kudrat mereka untuk mencari rezeki dan saya tahu mereka melakukannya untuk mencari sesuap nasi. Kerana jika suami mereka sudah berharta, masakan mereka perlu membanting tulang? Inilah yang saya kagum. Sudah pasti segala penat lelah mereka berbaloi apabila melihat anak-anak mereka gembira. Tapi saya merasakan tatkala mereka membela orang lain, nasib sendiri tidak terbela. Walaupun acapkali kita katakan inilah "naluri seorang ibu", tetapi sampai bilakah mereka perlu sebegini? Saya cuma berharap anak-anak mereka dapat menghargai pengorbanan ibu mereka dengan sebaiknya. Saya masih kagum.
Mendayung sampan untuk mencari rezeki
Jangan lupa wanita lah secara lazimnya yang dapat buat kerja-kerja sebegini teliti dan halus
(seorang wanita sedang membuat kulit popiah dengan tekunnya)
Oleh itu, kesimpulan saya mudah. Mungkin lelaki yang dapat mempamerkan kekuatan zahir mereka, tetapi kekuatan dalaman adalah sama penting. Lihatlah ibu kamu dan pastinya kamu akan bersetuju.
P/S: Tidak bermaksud untuk membuat karangan ala-ala Tingkatan 5. Hanya ingin memperlihatkan apa yang mungkin kita sudah terlupa.